KUCHING, 27 November – Grab Malaysia telah membuka lebih 40,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak sejak ia mula beroperasi di Bumi Kenyalang sepuluh tahun yang lalu.
Menurut Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo, daripada lebih 40,000 Rakan Grab, kira-kira 700 adalah pemandu wanita, dan lebih 60 daripada mereka adalah golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Beliau turut menyatakan bahawa syarikat ini menyediakan platform bagi Rakan Grab, termasuk pemandu, penghantar tempatan, perniagaan, dan usahawan, untuk menjana pendapatan melalui penyelesaian teknologi.
“Pada tahun 2023, Rakan Grab secara keseluruhan telah menjana lebih RM100 juta di platform ini, yang sekali gus menunjukkan kesan positif Grab terhadap ekonomi negeri.”
“Melalui penyediaan penyelesaian inovatif untuk industri perusahaan kecil dan sederhana, kami telah melihat pertumbuhan tahunan sebanyak 16 peratus bagi peniaga yang berdaftar dengan kami di Sarawak, dengan lebih separuh daripada perniagaan tersebut mengekalkan penarafan lima bintang berdasarkan ribuan ulasan dari pelanggan,” kata Adelene.
Adelene turut menyatakan bahawa Grab Malaysia menyokong penuh inisiatif kerajaan Sarawak dalam sektor pelancongan, yang mensasarkan kemasukan lima juta pelancong ke negeri itu menjelang 2025, melalui penyelesaian teknologi.
“Penyelesaian teknologi ini bukan sahaja meningkatkan keselesaan dan keselamatan, tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi serta memperkaya komuniti tempatan,” tambahnya semasa program Sembang TechTarik yang diadakan di sini.
Sharipah Mazenah Wan Shazalli, seorang pesara guru yang juga rakan pemandu Grab sejak 2017, memuji ciri keselamatan serta sokongan yang diberikan oleh syarikat kepada Rakan Grab berdaftar.
“Antara ciri keselamatan seperti butang kecemasan untuk bantuan polis, diskaun penyelenggaraan kereta, pembiayaan peralatan gajet, dan sokongan melalui sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Grab memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakan kongsi,” katanya.
“Sebagai pesara guru, saya mendapat semangat baru dengan menjadi pemandu e-hailing Grab. Saya sangat selesa dengan fleksibiliti waktu kerja yang membolehkan saya menyokong keluarga sambil kekal aktif,” kata ibu tunggal kepada lapan anak ini, yang berjaya menunjukkan potensi ekonomi gig di setiap peringkat usia.
Sementara itu, perniagaan Big Coconut yang bermula sebagai sebuah gerai penjaja dan berdaftar dengan GrabFood sejak 2019, kini berkembang dengan lapan cawangan restoran yang menyajikan masakan barat di sekitar Kuching.
Pemilik Big Coconut, Cliff Chong, yang juga anak Sarawak, berbangga kerana jenamanya telah diiktiraf sebagai antara yang terbaik di GrabFood, sekali gus membuktikan bahawa teknologi dan strategi pemasaran yang inovatif boleh membantu perniagaan kecil berkembang ke tahap yang lebih tinggi.
“Melalui penyertaan strategik dalam kempen pemasaran GrabFood, Big Coconut mencatatkan peningkatan hasil bulanan dari RM109,000 pada Julai tahun ini kepada RM126,000 pada Oktober yang lalu,” jelasnya.